Wednesday, December 31, 2008

Bijak Memilih Jurugambar

MUSIM cuti sekolah atau cuti umum menjadi masa yang sering dipilih untuk mengadakan majlis perkahwinan. Ini kerana tetamu yang diundang tidak mempunyai masalah memenuhi jemputan malah persediaan mengadakan majlis juga lebih mudah dilakukan.

               Majlis perkahwinan yang diadakan tidak akan bermakna jika semua detik yang berlaku pada hari istimewa itu tidak dirakam untuk tatapan saudara mara atau teman sekerja.

               Oleh itu, memilih jurugambar adalah satu perkara mustahak yang perlu disenaraikan ketika merancang majlis perkahwinan atau apa juga majlis sekalipun.

               Memilih jurugambar perlu disesuaikan dengan peruntukan kerana setiap jurugambar mempunyai harga berbeza malah kemahiran mereka juga tidak sama. Terdapat juga jurugambar yang menawarkan pakej menarik dan sering menjadi pilihan pengantin kerana ia berbaloi dengan pelaburan mereka.

               Kebiasaannya, setiap jurugambar akan menetapkan harga berdasarkan kuantiti filem yang digunakan. Walaupun jurugambar masa kini menggunakan kamera digital, namun mereka masih meletakkan harga mengikut gulungan filem bagi memudahkan proses mengira.

               Setiap gulungan filem boleh menghasilkan 36 keping gambar dan harga yang ditetapkan bergantung kepada kawasan dan kemahiran jurugambar berkenaan.

               Terdapat jurugambar berpengalaman luas akan mengenakan harga tinggi mencecah ribuan ringgit terutama jika majlis yang diadakan itu di kawasan bandar. Namun, ada juga jurugambar yang mengenakan harga serendah RM100 terutama kawasan kampung.

               Sebagai pengantin, anda berhak mendapatkan jurugambar terbaik untuk merakam detik indah pada majlis perkahwinan anda. Jangan menerima saja cadangan saudara mara mengenai jurugambar mereka kenali. Tidak salah jika anda bertanya jurugambar itu koleksi gambar perkahwinan yang pernah diambil.

               Antara soalan penting yang anda perlu ketahui selain kadar harga adalah jenis kamera yang digunakan serta pakej istimewa yang ditawarkan.

               Tidak semua kamera digital SLR mampu menghasilkan gambar secantik yang anda idamkan dan seeloknya anda ajukan soalan itu kepada jurugambar. Penggunaan lensa juga menentukan kualiti gambar yang akan dihasilkan.

               Selain itu, terdapat jurugambar yang menawarkan beberapa tawaran menarik seperti gambar disunting menggunakan teknik. Photoshop malah terdapat juga jurugambar ‘menghadiahkan’ pengantin sekeping gambar terbaik berserta bingkai.

               Sebagai pengantin, anda perlu menentukan pada waktu bila jurugambar itu perlu menjalankan tugasnya. Ini kerana terdapat pasangan memilih menggunakan khidmat jurugambar untuk majlis pernikahan saja.

               Jadi, anda perlu tetapkan persetujuan dengan jurugambar bahawa anda perlukan perkhidmatnya sehingga majlis selesai atau pada sesi tertentu.