Wednesday, December 31, 2008

Bijak menjawab telefon

TELEFON bimbit kini dimiliki hampir semua individu sama ada yang masih belajar, pekerja, tua atau muda tetapi secanggih mana sekali pun telefon, ia tidak bermakna jika individu yang menggunakannya tidak bijak mengendalikan panggilan yang diterima atau ketika membuat panggilan, apatah lagi sehingga mengganggu orang lain.

Pastikan tujuan

Pastikan anda tahu tujuan membuat panggilan supaya tidak menyusahkan orang yang dihubungi. Jika tidak keberatan, catatkan segala pertanyaan yang mahu diutarakan dan maklumat berkaitan supaya anda tidak perlu membuat panggilan semula untuk bertanyakan pelbagai soalan lagi. Selain itu, anda juga perlu pastikan nombor yang anda dail itu adalah individu yang perlu anda hubungi.

Memulakan perbualan

Saat memulakan perbualan, pastikan semua pertanyaan disuarakan dengan berhemah. Sebaik-baiknya, mulakan pertanyaan dengan gelaran yang baik seperti encik, puan atau Datuk sekiranya penerima panggilan mempunyai gelaran itu. Pastikan juga ucapan terima kasih diucapkan pada akhir panggilan supaya anda tidak dipandang sebagai individu yang pentingkan diri sendiri. Cara anda berbual di telefon menandakan keperibadian anda sebenar.

Nada dering

Kecanggihan zaman teknologi memungkinkan pelbagai nada dering telefon boleh digunakan. Walau secanggih mana nada dering yang anda gunakan, ia perlu dimatikan atau ditukarkan kepada mod senyap setiap kali melangkah ke tempat tertentu seperti masjid, mesyuarat atau seminar. Tidak salah mengormati orang lain apatah lagi majlis yang anda hadiri.jangan bimbang dengan panggilan tidak berjawab kerana teknologi juga memungkinkan semua panggilan tidak berjawab direkod supaya anda boleh menghubungi semula individu yang membuat panggilan tadi.

Pilih waktu

Sebelum menghubungi seseorang, anda perlu pastikan sama ada waktu itu sesuai atau tidak. Waktu seperti selepas tengah malam, subuh atau maghrib dianggap sebagai antara waktu yang tidak sesuai. Ia adalah masa untuk berehat serta melakukan amal ibadat. Panggilan awal pagi atau lewat malam hanya dibenarkan sekiranya terdapat berita kecemasan yang perlu disampaikan. Gunakan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (sms) untuk bertanyakan sesuatu dan anda tidak perlu membuat panggilan.

Hak peribadi

Ada kalanya teman anda sering meninggalkan telefon bimbit mereka merata-rata. Anda dilarang sama sekali mengusik telefon mereka kerana ia dianggap sebagai harta peribadi. Pasti telefon bimbit berkenaan mengandungi senarai nombor rahsia atau mesej peribadi yang pasti tidak patut diketahui orang lain. Sekiranya telefon berkenaan milik ahli keluarga anda sekalipun, anda perlu meminta keizinan mereka terlebih dulu.

Bijak Memilih Jurugambar

MUSIM cuti sekolah atau cuti umum menjadi masa yang sering dipilih untuk mengadakan majlis perkahwinan. Ini kerana tetamu yang diundang tidak mempunyai masalah memenuhi jemputan malah persediaan mengadakan majlis juga lebih mudah dilakukan.

               Majlis perkahwinan yang diadakan tidak akan bermakna jika semua detik yang berlaku pada hari istimewa itu tidak dirakam untuk tatapan saudara mara atau teman sekerja.

               Oleh itu, memilih jurugambar adalah satu perkara mustahak yang perlu disenaraikan ketika merancang majlis perkahwinan atau apa juga majlis sekalipun.

               Memilih jurugambar perlu disesuaikan dengan peruntukan kerana setiap jurugambar mempunyai harga berbeza malah kemahiran mereka juga tidak sama. Terdapat juga jurugambar yang menawarkan pakej menarik dan sering menjadi pilihan pengantin kerana ia berbaloi dengan pelaburan mereka.

               Kebiasaannya, setiap jurugambar akan menetapkan harga berdasarkan kuantiti filem yang digunakan. Walaupun jurugambar masa kini menggunakan kamera digital, namun mereka masih meletakkan harga mengikut gulungan filem bagi memudahkan proses mengira.

               Setiap gulungan filem boleh menghasilkan 36 keping gambar dan harga yang ditetapkan bergantung kepada kawasan dan kemahiran jurugambar berkenaan.

               Terdapat jurugambar berpengalaman luas akan mengenakan harga tinggi mencecah ribuan ringgit terutama jika majlis yang diadakan itu di kawasan bandar. Namun, ada juga jurugambar yang mengenakan harga serendah RM100 terutama kawasan kampung.

               Sebagai pengantin, anda berhak mendapatkan jurugambar terbaik untuk merakam detik indah pada majlis perkahwinan anda. Jangan menerima saja cadangan saudara mara mengenai jurugambar mereka kenali. Tidak salah jika anda bertanya jurugambar itu koleksi gambar perkahwinan yang pernah diambil.

               Antara soalan penting yang anda perlu ketahui selain kadar harga adalah jenis kamera yang digunakan serta pakej istimewa yang ditawarkan.

               Tidak semua kamera digital SLR mampu menghasilkan gambar secantik yang anda idamkan dan seeloknya anda ajukan soalan itu kepada jurugambar. Penggunaan lensa juga menentukan kualiti gambar yang akan dihasilkan.

               Selain itu, terdapat jurugambar yang menawarkan beberapa tawaran menarik seperti gambar disunting menggunakan teknik. Photoshop malah terdapat juga jurugambar ‘menghadiahkan’ pengantin sekeping gambar terbaik berserta bingkai.

               Sebagai pengantin, anda perlu menentukan pada waktu bila jurugambar itu perlu menjalankan tugasnya. Ini kerana terdapat pasangan memilih menggunakan khidmat jurugambar untuk majlis pernikahan saja.

               Jadi, anda perlu tetapkan persetujuan dengan jurugambar bahawa anda perlukan perkhidmatnya sehingga majlis selesai atau pada sesi tertentu.

Monday, December 29, 2008